KUALA LUMPUR: Saingan Liga-Malaysia (Liga-M) musim ini terus mendapat suntikan baharu apabila menerima kira-kira 15 penaja, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam.

Beliau berkata 12 daripada penaja telah dimuktamadkan setakat ini, sementara tiga lagi akan dimeterai menjadikan jumlah penajaan lebih besar berbanding musim sebelumnya.

"Kita ada 12 yang dah sah dan lagi tiga dalam rundingan terakhir. Kami rasa menjelang sepak mula liga akan ada 13, manakala baki dua penaja akan menyertai sekitar suku pertama liga bermula.

"Masih lagi ada perbincangan dalam hal berkaitan perundangan serta prosesnya perlu kami hormati. Kami harap dalam musim 2024/2025 akan ada dalam 15 penaja secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian bersama Hong Leong MSIG Takaful selaku antara penaja baharu di sini hari ini.

Sementara itu, Stuart berkata MFL selaku badan penganjur liga sedang mencari penaja utama bagi dua piala dalam saingan Liga-M.

"Kemungkinan penaja utama satu piala lagi yang masih belum ada. Kami harap dalam rundingan dibuat dapat mencari penaja yang akan menyumbang besar kepada Liga-M.

"Liga Super bermula pada minggu hadapan sementara Piala Malaysia dan Piala FA kemudian sedikit jadi harap dapat cari penaja utama buat kedua-dua piala sebelum perlawanan pertama bermula," katanya.

Sebanyak 12 penaja memeriahkan Liga-M pada musim lepas dengan enam daripadanya kekal pada musim baharu yang akan membuka tirai dengan Piala Sumbangsih melibatkan perlawanan di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada 10 Mei.

-- BERNAMA